Pendukung

Personaliti INFJ

Pendukung ialah individu berwawasan yang tenang, sering bertindak sebagai idealis yang memberi inspirasi dan tidak kenal penat lelah.

Satu adegan yang mewakili personaliti jenis INFJ (Penyokong). Seorang lelaki INFJ berjanggut berdiri di kawasan lapang dalam hutan, melambai tongkat ajaib yang mengeluarkan kilauan ke arah sebatang pokok berwajah yang melambai dengan gembira. INFJ tersebut mempunyai ekspresi bijak dan penuh pemikiran di wajahnya, dan dia kelihatan seperti sedang berbicara dengan pokok itu. Lebih banyak pokok, bunga, dan batu geometri tersebar di seluruh adegan, menambah kualiti mistik dan imaginatif. Estetika keseluruhan adalah penuh khayalan dan mimpi, mencerminkan sifat visioner dan idealistik INFJ.
I Introvert N Intuitif F Emosional J Terancang

Pendukung

Hargailah seseorang sebagaimana diri mereka sepatutnya, dan anda membantu mereka menjadi apa yang mereka mampu capai.

Johann Wolfgang Von Goethe

Idealistik dan berprinsip, golongan dengan jenis personaliti INFJ (Pendukung) tidak berpuas hati dengan menjalani kehidupan seperti biasa – mereka mahu menyumbang dan melakukan perubahan. Bagi personaliti yang penuh belas kasihan ini, kejayaan tidak datang daripada wang atau status, tetapi dengan mencari pencapaian, membantu orang lain, serta menjadi agen perubahan yang membawa kebaikan kepada dunia.

Walaupun INFJ memiliki cita-cita dan matlamat yang besar, jangan sangka mereka sekadar orang yang bermimpi kosong. Mereka amat menitikberatkan integriti, dan tidak berpuas hati selagi mereka tidak dapat lakukan perkara yang mereka fikir betul. Dengan penu kesedaran, mereka menjalani hidup dengan prinsip yang jelas tentang nilai-nilai mereka, dan sentiasa cuba untuk tidak menyimpang daripada perkara yang benar-benar penting – bukan menurut orang lain atau masyarakat, tetapi mengikut kebijaksanaan serta gerak hati mereka sendiri.

Personaliti INFJ (Pendukung)
Personaliti INFJ mungkin kelihatan pendiam, namun mereka sebenarnya didorong oleh semangat dalaman yang luar biasa. Dipacu oleh pemikiran yang dalam dan empati yang luas, mereka menyerahkan diri dalam usaha mencari makna kehidupan.

Mencari Tujuan

Mungkin kerana jenis personaliti ini jarang ditemui, INFJ cenderung untuk berasa – sama ada secara sedar atau tidak – bahawa mereka berbeza daripada kebanyakan orang. Dengan kehidupan spiritual yang subur dan keinginan mendalam untuk mencari tujuan hidup mereka, tidak hairanlah jika kadangkala mereka sukar untuk “masuk” dengan orang lain. Ini bukan bermakna personaliti INFJ tidak boleh diterima masyarakat atau menjalin hubungan akrab – cuma kadangkala mereka berasa kurang difahami atau bertentangan dengan sekeliling mereka.

Mujurlah, perasaan tidak sejalan ini tidak menjejaskan komitmen INFJ untuk menjadikan dunia tempat yang lebih baik. Personaliti ini terganggu dengan ketidakadilan, dan lebih mementingkan altruisme berbanding keuntungan peribadi. Mereka kerap berasa terpanggil untuk menggunakan kelebihan mereka – termasuk kreativiti, imaginasi, dan kepekaan – bagi mengangkat orang lain dan menyebarkan rasa belas kasihan.

Tiada apa yang lebih membangkitkan semangat INFJ selain berpeluang mengubah hidup seseorang menjadi lebih baik.

Ramai INFJ melihat membantu orang lain sebagai misi hidup mereka, dan mereka sentiasa mencari peluang untuk menyumbang atau bersuara menegakkan keadilan. Orang dengan personaliti ini juga terdorong untuk memulihkan masalah-masalah besar dalam masyarakat, dengan harapan agar suatu hari nanti ketidakadilan dan penderitaan dapat diatasi. Namun, kadangkala INFJ begitu tekun dengan idealisme mereka hingga melupakan keperluan diri – lalu mengundang stres dan lesu upaya.

Berhubung dengan Orang Lain (dan Diri Sendiri)

INFJ sangat menghargai hubungan yang mendalam dan tulen. Tiada yang lebih menggembirakan mereka daripada mengenali seseorang – dan dikenali dengan baik. INFJ menyukai perbualan yang bermakna daripada berbual kosong, dan mereka cenderung untuk berkomunikasi dengan cara yang lembut lagi penuh empati. Kejujuran emosi mereka serta daya pemahaman yang kuat mampu memberi kesan besar kepada orang di sekeliling mereka.

Beberapa hubungan rapat, asalkan ia benar-benar ikhlas, mampu memenuhi hati INFJ sepenuhnya.

Bertimbang rasa dan tidak mementingkan diri, personaliti INFJ mencurahkan banyak tenaga serta perhatian dalam hubungan mereka. Namun, itu tidak bermakna mereka selalu berasa dihargai. Mereka sangat teliti dalam menimbang impak tindakan mereka terhadap orang lain. Akibatnya, mereka akan berasa kecewa apabila orang lain tidak nampak niat baik mereka. INFJ juga sangat sensitif terhadap kritikan dan mudah terasa hati.

Satu Misi Peribadi

Ramai personaliti INFJ merasakan bahawa hidup mereka mempunyai tujuan yang unik – misi yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka di dunia ini. Bagi mereka, antara kepuasan terbesar dalam hidup adalah untuk mencari tujuan tersebut – dan sebaik sahaja mereka menemuinya, mereka akan berusaha sedaya upaya untuk menunaikannya.

Apabila INFJ berdepan ketidaksamarataan atau ketidakadilan, mereka jarang sekali berputus asa – sebaliknya, mereka menggunakan gerak hati dan belas kasihan untuk mencari jalan penyelesaian. Dengan keupayaan semula jadi untuk menyeimbangkan hati dan akal, personaliti yang berdedikasi ini seolah-olah diprogram untuk membetulkan kepincangan di dunia, tidak kira besar atau kecil. Namun begitu, mereka perlu ingat bahawa dalam kesibukan menjaga orang lain, kadangkala mereka perlu berhenti sejenak untuk menjaga diri sendiri juga.