Penghibur
Hiduplah setiap saat tanpa keraguan.
Jika ada seseorang yang menari dan menyanyi secara spontan di sebuah acara, kemungkinan besar mereka jenis personaliti ESFP (Penghibur). Mereka mudah terbuai oleh keterujaan situasi semasa dan berhasrat agar setiap orang dapat merasai keterujaan itu juga. Tiada jenis personaliti lain yang lebih pemurah dengan masa dan tenaga untuk mengajak orang lain bergembira, dan melakukannya dengan gaya penuh semangat.
Hidup dengan Penuh Semangat
Personaliti ESFP cenderung untuk menarik perhatian orang lain dan biasanya merasa sangat selesa apabila menjadi perhatian ramai. Walau bagaimanapun, keyakinan mereka bukan datang daripada perasaan suka untuk menjadi tumpuan, tetapi kerana kebolehan mereka untuk mengetahui perkara yang sesuai dalam situasi tersebut. Mereka mempunyai keupayaan luar biasa untuk meniru tingkah laku orang di sekeliling mereka.
ESFP menyukai perkara-perkara yang sederhana, dan tiada yang lebih menggembirakan mereka selain bersenang-senang bersama rakan-rakan yang baik. Orang dengan personaliti ini selalunya memilih untuk bersama rakan-rakan daripada meluangkan masa seorang diri. Dengan humor yang unik dan semula jadi, mereka suka apabila diberikan perhatian dan menjadikan setiap pertemuan seperti sebuah parti.
Bukan sekadar cakap kosong – ESFP biasanya mempunyai rasa estetik yang paling kuat berbanding personaliti lain. Dari cara berpakaian hinggalah hiasan rumah yang teratur, mereka mempunyai cita rasa yang bagus. Mereka tahu benda yang menarik sebaik sahaja melihatnya, dan mereka tidak takut untuk mengubah persekitaran mereka untuk menonjolkan gaya mereka. Mereka ini suka untuk tahu serta meneroka rekaan dan gaya baharu.
Walaupun tidak kelihatan seperti itu, personaliti ESFP tahu bahawa hidup bukan tentang diri mereka sahaja – mereka sangat peka dan sensitif terhadap emosi orang lain. Menjadi orang pertama yang membantu seseorang menyelesaikan masalah, ESFP dengan senang hati memberikan sokongan emosi dan nasihat praktikal. Walau bagaimanapun, jika masalah itu melibatkan mereka, mereka lebih cenderung untuk mengelak daripada menghadapi konflik secara langsung. Jenis personaliti ini biasanya suka akan drama dan perasaan, tetapi tidak apabila mereka menjadi tumpuan kritikan.
Semangat Yang Spontan
Cabaran terbesar bagi mereka adalah sering kali fokus kepada keseronokan serta-merta sehingga mereka mengabaikan tanggungjawab dan kewajipan yang lebih penting. Aktiviti yang memerlukan analisis kompleks, tugas berulang, dan memadankan statistik dengan akibat bukanlah sesuatu yang mudah bagi individu dengan personaliti ESFP. Mereka lebih suka bergantung pada peluang spontan atau meminta bantuan daripada rakan mereka. Penting bagi ESFP untuk mencabar diri mereka untuk memantau perkara jangka panjang seperti pelan persaraan atau pengambilan gula – kerana tiada orang yang boleh membantu memantau perkara-perkara ini.
ESFP mementingkan nilai dan kualiti, yang sememangnya satu sifat yang baik. Namun, apabila digabungkan dengan kecenderungan mereka untuk tidak merancang, ini boleh menyebabkan mereka hidup melebihi kemampuan, lebih-lebih lagi melibatkan kad kredit. Jika mereka lebih fokus untuk merebut peluang daripada merancang matlamat jangka panjang, mereka akan mendapati sikap tidak prihatin mereka itu akan menghalang beberapa aktiviti mereka.
ESFP suka berada di tempat yang penuh gelak tawa, keseronokan, dan peluang untuk mencuba sesuatu yang baharu. Mereka sangat gembira apabila dapat membawa orang lain bersama-sama dalam keseronokan itu. Mereka suka berbual, kadangkala tentang perkara yang mereka ingin kongsikan, dan sentiasa berkongsi perasaan dengan orang yang mereka sayang. Jika mereka lebih bersedia, mereka akan mencuba semua perkara baharu dan mengujakan yang ditawarkan, bersama rakan-rakan.