Malam Jumaat, dan anda baru sahaja bersetuju untuk menjadi tuan rumah majlis makan malam sekali lagi. Ini walaupun anda sudah keletihan setelah seminggu menggantikan rakan sekerja, membantu adik anda berpindah, dan menguruskan kutipan dana kejiranan. Ketika anda berdiri di dapur, mula mengira dalam fikiran bagaimana hendak memenuhi pelbagai keperluan diet setiap tetamu sambil tertanya-tanya bila anda sempat membersihkan rumah, satu persoalan yang sudah biasa muncul di benak anda: “Kenapa aku setuju dengan semua ini?”
Sebagai seorang personaliti ESFJ (Konsul), anda memang tidak asing lagi dengan sikap mengutamakan keperluan orang lain melebihi keperluan sendiri – atau dikenali juga sebagai memuaskan hati orang.
Sikap semula jadi anda yang suka mengambil berat, menyokong, dan menghabiskan masa dalam komuniti sering menjadikan anda individu yang sentiasa diharapkan oleh orang sekeliling. Tetapi kecenderungan ini juga mempunyai sisi gelap. Apabila anda sentiasa mendahulukan keperluan semua orang, anda mudah merasa keletihan, menyimpan perasaan tidak puas hati yang tidak diluahkan, dan akhirnya terasa seolah-olah terputus hubungan dengan diri anda sendiri.
Berita baiknya? Dengan memahami sebab anda cenderung memuaskan hati orang dan mempelajari cara untuk menyeimbangkannya dengan sempadan yang sihat, anda masih boleh merasai kepuasan memberi tanpa perlu mengorbankan kesejahteraan diri. Inilah yang akan kita terokai dalam artikel ini.
Cara Mulakan Mengutamakan Keperluan Diri Sendiri
Sentiasa tersedia untuk orang lain mungkin nampak seperti perkara yang betul, tetapi jika selalu memuaskan hati orang, ia tersembunyi risiko yang serius. Selain risiko keletihan, ia juga boleh merosakkan hubungan jika anda mula menyimpan perasaan tidak puas hati terhadap orang lain. Malah, ia boleh menambah keresahan pada saat-saat yang sebelum ini anda sukai dan membuatkan anda semakin terpisah daripada keinginan serta keperluan diri sendiri.
Demi mengurangkan risiko ini, berikut adalah beberapa strategi yang boleh membantu anda mengekalkan sifat penyayang anda, sambil mencipta sempadan sihat yang membolehkan anda memberi lebih ruang untuk diri sendiri. Anggaplah mengamalkan strategi ini sebagai usaha untuk menjaga diri anda sendiri dengan dedikasi yang sama seperti anda menjaga orang lain.
Strategi #1: Gantikan “Ya” Secara Otomatik dengan Penjadualan yang Bijak
Sebelum menerima komitmen baru, ambil masa untuk menilai dengan jujur sama ada anda benar-benar mempunyai masa dan tenaga untuk melaksanakannya tanpa membuat anda letih. Ini mungkin bermaksud anda tidak perlu segera berkata ya terhadap permintaan. Sebaliknya, anda boleh cuba memberikan jawapan seperti:
- “Biar saya semak jadual dulu dan pastikan saya boleh berikan perhatian yang sepatutnya.”
- “Saya perlu semak komitmen minggu itu dulu sebelum boleh mengesahkan.”
- “Boleh saya maklumkan esok? Saya mahu pastikan saya ada masa dan tenaga yang mencukupi untuk tugasan ini.”
Selalu berkata ya kepada semua perkara tidak menjadikan anda kawan atau penyokong yang lebih baik – ia cuma menjadikan anda seseorang yang keletihan. Apabila anda berhenti memuaskan hati orang dan melindungi tenaga anda dengan perancangan yang teliti, anda akan berasa lebih tenang kerana tahu setiap “ya” datang dari kemampuan sebenar untuk membantu, bukan sekadar keinginan memenuhi hati orang.
Strategi #2: Berkongsi Tanggungjawab
Sebagai seorang personaliti ESFJ, anda memang pakar dalam menjangka keperluan dan menguruskan perincian. Oleh itu, anda mungkin cenderung mengambil semua tanggungjawab sendiri.
Walaupun keupayaan anda mengurus sendiri begitu mengagumkan, jika anda sentiasa melakukannya, ia hanya memenatkan anda, malah mungkin menghalang orang lain daripada menyumbang dengan cara mereka yang tersendiri.
Jadi, daripada sentiasa menjadi ketua dalam setiap projek atau majlis, cubalah galakkan perkongsian tanggungjawab bersama rakan, keluarga, dan rakan sekerja anda. Ini boleh dilakukan dengan menetapkan giliran menganjurkan acara, berkongsi senarai tugasan, atau menubuhkan jawatankuasa perancangan di mana setiap orang diberi peranan yang berbeza.
Ia bukan sahaja boleh mengelakkan anda daripada keletihan, malah biasanya menghasilkan suasana kerjasama yang lebih bermanfaat, di mana setiap individu merasakan sumbangan mereka dihargai.
Kata Akhir
Walaupun naluri anda untuk membantu orang menjadikan anda insan yang sangat dihargai, ingatlah bahawa anda bukan sekadar watak sampingan dalam kisah orang lain – anda adalah Protagonis dalam kehidupan anda sendiri. Apabila anda berjaya mengimbangi apa yang anda beri kepada orang dan apa yang sebenarnya anda mahukan dan perlukan, anda mencipta kisah di mana semua orang, termasuk diri sendiri, dapat berkembang.
Personaliti ESFJ, kami ingin mendengar pendapat anda! Adakah anda sering memuaskan hati orang? Strategi apa yang membantu anda mengelakkan terlalu banyak komitmen? Kongsikan perjalanan anda dalam ruangan komen di bawah.
Bacaan Lanjut
- Baca lebih banyak artikel dalam siri kami tentang bagaimana jenis personaliti berbeza boleh mengatasi sikap memuaskan hati orang.
- Bagaimana untuk Berkata Tidak (Dengan Sopan): Personaliti dan Seni Menetapkan Sempadan
- Cinta dan Perselisihan: Memahami Pendekatan ESFJ terhadap Konflik dalam Hubungan
- Timbal Balas, Cinta, dan Personaliti dalam Hubungan Romantik ESFJ
- Sedia untuk belajar lebih lanjut? Dapatkan Laporan Premium anda untuk mengetahui 12 lagi sifat berpengaruh tambahan dan lihat bagaimana ia mempengaruhi personaliti ESFJ anda. Buka pemahaman yang lebih jelas mengenai diri anda dan cara menjadi insan penyayang yang dikasihi semua, sambil melindungi tenaga anda sendiri.
Ulasan
Tiada ulasan lagi. Sila untuk menyertai perbincangan.